Previous Next

Delegasi MRSM ATM Bera (MATRA) ke UMPSA

20 Februari 2025 (Khamis) | UMPSA Gambang
 
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima lawatan daripada pihak MRSM ATM Bera (MATRA). Delegasi MATRA adalah terdiri daripada Pengetua, Timbalan Pengetua, Guru-guru Jabatan Sains dan pelajar tingkatan 5. Pusat Jaringan Industri & Masyarakat (PJIM) UMPSA merupakan penyelaras utama program ini.
 
Delegasi tiba di UMPSA Gambang pada jam 9.00 pagi. Selepas taklimat ringkas perjalanan program disampaikan oleh En. Mohammad Ilzam Jamat, Eksekutif Kanan PJIM, program diteruskan dengan sesi Taklimat AI: Pembelajaran Masakini yang disampaikan oleh Ts. Aziman Abdullah, pensyarah Fakulti Komputeran. Seterusnya, para pelajar dipecahkan kepada empat kumpulan dan menuju ke fakulti yang terlibat iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dan Pusat Sains Matematik.
Pada sebelah petang pula, sesi diteruskan dengan Taklimat Promosi Program Akademik UMPSA yang disampaikan oleh En. Muhammad Hakim Abu, Eksekutif Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik.
Kemuncak program ialah Majlis Menandatangani Surat Niat antara Pusat TVET Termaju dan MATRA. Dalam ucapan Pengetua MATRA, Tn. Hj. Mohd Nizar Idris, beliau sangat menghargai kesudian UMPSA untuk menerima lawatan ini kerana ia adalah salah satu platfom untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar bahawa terdapat pelbagai bidang yang boleh dipilih selepas SPM nanti. "Selama ini pelajar beranggapan hanya bidang perubatan dan jurutera sahaja yang boleh dipilih selepas SPM. Tapi selepas melalui program ini, sebenarnya terdapat banyak lagi program yang ada sebagai alternatif kepada dua bidang tersebut" ujar beliau lagi.
 
Selain itu, Pengarah PTVET, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Shahrir bin Mohd Sani turut mengguna kesempatan ini untuk mempromosikan program dual ijazah UMPSA terutamanya kerjasama bersama Beijing Jiaotong University (BJTU) China. Beliau berkata "Program ini adalah berkait rapat dengan Youth Talent Program di bawah MARA. Maka ia amat sesuai untuk pelajar MRSM."
Sejurus selepas surat niat ditandatangani oleh kedua-dua pihak, majlis diakhiri dengan serahan cenderamata dari pihak UMPSA dan MATRA. Semoga program ini memberikan manfaat kepada pelajar yang hadir.
 

Cetak   Emel