Previous Next

PROGRAM PROFESOR TURUN PADANG - PENGENALAN KEPADA TEKNOLOGI DRON: KOMPONEN & ASAS PENERBANGAN DRON DI MRSM ATM BERA

8 DISEMBER 2024 | MRSM ATM BERA, PAHANG
 
Program Profesor Turun Padang (PTP) 2024 anjuran Pusat TVET Termaju, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berlangsung pada 8 Disember 2024 di MRSM ATM Bera, Pahang dengan jayanya hasil kerjasama Maktab Rendah Sains Mara ATM Bera dan Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia Cawangan MRSM ATM Bera (MUAFAKAT).
Seramai 5 orang staf dari Pusat TVET telah menjayakan program ini dan 60 orang pelajar telah dipilih menyertai program yang bertujuan mendalami ilmu teknologi dron. Selain itu, program ini diadakan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai komponen asas dron dan teknologi masa kini, prosedur pengendalian dan penyelenggaraan dron serta undang-undang yang berkaitan dengan dron di Malaysia.
Sesi dimulakan dengan penyampaian teori asas dron, sejarah, jenis-jenis, komponen dan undang-undang yang berkaitan dengan dron di Malaysia. Di akhir sesi, kuiz dalam kumpulan dijalankan dengan markah kuiz akan dicampur dengan markah pertandingan Drone Challenge yang akan diadakan pada sesi terkahir. Seterusnya, sesi kedua dimana setiap kumpulan dibekalkan dengan Mini DIY Drone dan mereka ditugaskan untuk memasang komponen-komponen seperti electronic motor, propeller, battery dan IC pada chassis dron tersebut. Seterusnya, kesemua dron yang telah siap dipasang akan diterbangkan dan setiap pelajar diajar cara pengawalannya.
Acara kemuncak pada sesi petang adalah pertandingan Drone Challenge dimana setiap kumpulan akan berlumba 1vs1 kawalan dron yang telah mereka pasang dengan melepasi beberapa halangan yang disediakan. Pertandingan melibatkan 12 kumpulan dengan format kalah-mati dan cabaran halangan yang lebih sukar pada setiap peringkat seterusnya. Tiga pasukan terakhir akan bertanding mengikut catatan masa untuk menentukan pemenang.
Program diakhiri dengan pemberian hadiah kepada para pemenang dan serahan 14 unit Mini DIY Drone kepada pihak MRSM ATM Bera. Secara keseluruhan, program ini dapat mencungkil bakat kreativiti pelajar dan diharapkan dapat menarik minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui teknologi dron yang telah dikenali sebagai salah satu permainan terbaik dalam bidang STEM. Program ini juga merupakan salah satu usaha UMPSA dalam mendekatkan hubungan antara universiti dan komuniti, selari dengan aspirasi negara untuk membangunkan masyarakat yang lebih lestari dan inovatif.

Print   Email