PTVET UMPSA

News & Events

Previous Next

Program Pemerkasaan Kompetensi Pelajar : Kursus Latihan Basic Lifting & Rigging (15 - 16 Nov)

PTVET TRAINING SERIES
LATIHAN “BASIC LIFTING & RIGGING” PERKUKUH KOMPETENSI PELAJAR TVET UMPSA
 
Latihan teknikal Basic Lifting and Rigging yang berlangsung pada 15–16 November 2025 di Makmal Kejuruteraan Gas, FTKKP menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar.
Kursus anjuran Pusat TVET Termaju UMPSA dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Teknologi Kimia dan Proses (FTKKP) ini merupakan salah satu modul dalam PTVET Training Series (T-CERT) bagi memperkukuh kompetensi TVET aras tinggi selaras keperluan industri.
 
Selama dua hari latihan intensif, peserta didedahkan kepada pengetahuan dan kemahiran penting berkaitan penyeliaan pengangkatan serta operasi rigging melalui gabungan sesi teori dan amali. Komponen amali merangkumi kiraan tegangan sling, teknik pengangkatan selamat, pemasangan sling, simpulan asas, serta penyediaan lifting plan. Selain itu, pelajar turut mempelajari peranan penyelia operasi angkat, kehendak akta dan peraturan berkaitan, pengiraan kapasiti beban, prosedur pemeriksaan peralatan, dan konsep load calculation secara terperinci.
 
Seramai 20 pelajar pra siswazah UMPSA daripada pelbagai program telah dipilih menyertai latihan ini dan semuanya lulus penilaian praktikal. Ujian tersebut menilai tahap kefahaman peserta dalam mengendalikan beban menggunakan pelbagai load, menentukan centre of gravity (COG), memilih sling yang sesuai serta melaksanakan tugas sebagai lifting supervisor, rigger, signalman, dan tagline man.
 
Penganjuran latihan ini diharap dapat memperkukuh pengetahuan pelajar mengenai teknologi semasa, memantapkan budaya kerja selamat serta memberikan pengalaman praktikal bernilai sebagai persediaan memasuki industri minyak dan gas serta sektor kejuruteraan berkaitan.
Previous Next

T-Pro: Program Pensijilan Profesional UMPSA - AWS Cloud Practitioner Essentials (15 Nov)

T-Pro: Program Pensijilan Profesional UMPSA - AWS Cloud Practitioner Essentials [15 November 2025]

Program latihan profesional telah berjaya dilaksanakan pada 15 November 2025, bertempat di Makmal Digital Media Studio, Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pekan, Pahang. Seramai 20 orang pelajar telah dipilih yang merupakan pelajar tahun akhir dari Fakulti Komputeran (FK). Kursus ini telah dikendalikan oleh pengajar bertauliah dari Trainocate (M) SDN BHD; Renganathan Palanisamy yang mempunyai penuh pengalaman industri sebagai “Data & AI Specialist”.

Program ini direka oleh Amazon Web Services (AWS) untuk memperkenalkan peserta kepada konsep asas pengkomputeran awan dan platform AWS. Ia memberikan fokus kepada bagaimana pengkomputeran awan berfungsi, mengapa organisasi beralih ke awan, dan bagaimana AWS menyediakan penyelesaian awan yang boleh diskalakan, selamat dan menjimatkan kos. Bagi pelajar tahun akhir ijazah, kursus ini berfungsi sebagai titik permulaan untuk memahami infrastruktur IT moden dan teknologi berasaskan awan yang digunakan secara meluas dalam industri. Pelajar telah memperolehi pendedahan praktikal kepada persekitaran pengkomputeran moden yang meningkatkan keyakinan kemahiran teknikal dan menjadikan pelajar lebih bersedia untuk pensijilan prefesional pengkomputeran awan.

Selepas menamatkan latihan, pelajar telah dijadualkan dengan berfasa untuk mengambil peperiksaan secara atas talian (online proctor) secara individu yang bertempat di Bilik Kuliah 6 (BK6). Peperiksaan ini selesai dalam tempoh selama 2 minggu (8 Dis – 21 Dis) untuk kesemua pelajar. Seramai 11 orang pelajar telah dianugerahkan sijil professional ‘AWS Cloud Practitioner Essentials’.

Pelaksanaan program latihan profesional ini diharapkan dapat nilai tambah kepada pelajar disamping meningkatkan pengetahuan dan memberikan pengalaman praktikal sebagai persediaan untuk memasuki alam pekerjaan mereka pada masa akan datang.

Berikut adalah senarai 11 pelajar Certified AWS Cloud Practitioner. Syabas dan Tahniah!

CA22064 Muhammad Wazif Fakhrullah Bin Faizulaffian
CB22122 Muhammad Fikri Bin Shahril
CB22057 Muhammad Rusydan Bin Mohammed Rais
CB22073 Siti Nurdalilah Binti Saiful Bahari
CB22109 Sor Victor
CA22049 Wardatul Jannah Binti Mohd Nazir
CB22085 Muhammad Arif Bin Azlan
CB22075 ⁠Nur Hidayatul Huda Binti Ab Rahim
CB22091 Nur Ilya Natasha Binti Mohd Zuhaidi
CA22074 ⁠Isma Iwani Binti Ismail
CA22079 ⁠Muhammad Afiq Bin Mohd Rosli

Previous Next

Program Latihan Kolaborasi Industri: Kursus Profesional Dan Kompetensi PTVET 2025 – Excel Mastery Beginner to Intermediate.

25–26 JUN 2025 | MAKMAL KOMPUTER STUDIO KEJURUTERAAN PERISIAN , FAKULTI KOMPUTERAN.

Program latihan teknikal “Excel Mastery – Beginner to Intermediate” telah berjaya dilaksanakan pada 25 hingga 26 Jun 2025, bertempat di Makmal Komputer Studio Kejuruteraan Perisian, Fakulti Komputeran, UMPSA Pekan.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pemerkasaan TVET aras tinggi di bawah Pusat TVET Termaju di bawah inisiatif UMPSA25 KPI2a(1) untuk memberi latihan teknikal kepada pihak industri melalui siri latihan Pusat TVET Termaju (PTVET). Kursus ini dikendalikan oleh jurulatih bertauliah Ts. Mohd Tarmizi Bin Ab Rahman. Peserta kursus adalah terdiri daripada staf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Pada hari pertama kursus, 25 orang peserta didedahkan dengan  penggunaan perisian Microsoft Excel 2019 bermula dengan aras asas seperti “creating workbooks, using formulas & functions” dan “formatting cells & ranges”. Bagi menguji tahap kemahiran awal, peserta telah diuji dengan menjawab latihan asas yang diberikan oleh penceramah.

Modul yang lebih mencabar telah dikongsikan pada hari kedua kursus yang mana peserta diajar menggunakan data dan rajah melalui modul-modul seperti “Working with data, creating charts, managing worksheets”. Kefahaman dan kemahiran  peserta juga dinilai pada hari terakhir ini dan peserta yang hadir telah berjaya dalam penilaian tersebut.

Semoga pelaksanaan program seperti ini diharapkan dapat memberi nilai tambah dalam mempromosikan kepakaran UMPSA khususnya Pusat TVET kepada peserta dari luar UMPSA terutamanya dari pihak industri.

Previous Next

Program SUMOROBOT Tvet Challenge Sempena Hari TVET Negara 2025 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

PROGRAM SUMOROBOT TVET CHALLENGE SEMPENA HARI TVET NEGARA 2025 DI UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH (UMPSA)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang, 18 Jun 2025
 
Program SUMOROBOT TVET Challenge telah berlangsung dengan jayanya hari ini, menghimpunkan pelajar-pelajar dari sekolah rendah & menengah di seluruh Pahang dalam satu pertandingan teknologi yang penuh semangat dan inovatif.
Program ini bertujuan untuk memupuk minat dalam bidang robotik serta memperkukuh kemahiran teknikal pelajar-pelajar selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Lt. Kol. Dato' Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad bin Sulaiman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Profesor Madya. Ts. Dr. Mohd Shahrir Bin Mohd Sani, Pengarah Pusat TVET Termaju, Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pendedahan awal terhadap teknologi automasi dan robotik dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar murid sekolah rendah & menengah.
 
“Program seperti SUMOROBOT TVET Challenge ini adalah medan terbaik untuk mencungkil bakat serta memupuk daya saing pelajar dalam bidang yang sangat relevan dengan keperluan industri masa kini,” ujar beliau.
Pertandingan ini menyaksikan penyertaan lebih daripada 41 buah sekolah dan 72 pasukan dari pelbagai sekolah di sekitar negeri Pahang. Para peserta bersaing dalam kategori pertempuran robot (sumo robot) yang menguji kecekapan rekaan, pengaturcaraan dan strategi teknikal pasukan masing-masing. Pertandingan ini telah dimenangi oleh pasukan Sergam 1 dari SK Gambang. Tempat kedua dan ketiga disandang oleh pasukan Teruntum Warriors (A) dan Teruntum Warriors (B). Kedua-duanya adalah dari SK Teruntum.
Penganjuran program ini turut memberikan nilai tambah kepada pihak sekolah di mana ia boleh dikira sebagai salah satu aktiviti di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Semoga program ini dapat dilaksanakan lagi di masa akan datang.
 
Previous Next

Program Pemerkasaan Kompetensi Pelajar: Kursus Profesional Dan Kompetensi PTVET 2025 - Innovating with Cad: Fundamentals of Product Development

Program Pemerkasaan Kompetensi Pelajar: Kursus Profesional Dan Kompetensi PTVET 2025 - Innovating with Cad: Fundamentals of Product Development
 
Gambang, 14 Jun 2025 – Pusat TVET Termaju (PTVET), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneruskan lagi aktiviti pemerkasaan dan kecemerlangan dalam memberikan tambah nilai kepada pelajar melalui Program Pemerkasaan Industri (Empowering Industry) bagi tahun 2025, yang berlangsung pada 14 dan 15 Jun 2024 di Makmal Komputer 1, UMPSA Kampus Gambang.
 
Pada kali ini, kursus yang dianjurkan adalah Kursus Innovating with Cad: Fundamentals of Product Development, dengan memberi peluang kepada 15 pelajar dari bidang seperti Kimia, Pengurusan Industri dan Awam untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam membangunkan produk secara 3D menggunakan perisian Autodesk Inventor. Kursus yang dijalankan selama dua hari ini dikendalikan oleh tenaga pengajar Mejar Ts. Hazami bin Che Hussin dan Ts Mohd Tarmizy Bin Che Kar.
 
Pelajar yang mengikuti kursus ini telah didedahkan kepada teori asas dan Latihan secara praktikal melibatkan Introduction to Autodesk Inventor, Parametric Part Design and Basic Sketching, Basic Shape Design, Detailed Shape Design, Assembly Design Overview, Basic View Creation, Dimension, Annotations, and Tables, Annotating Assembly Drawings dan juga melibatkan Assessments (Mini Project / Tugasan Individu)
Hasil soalselidik yang dilakukan kepada peserta kursus selepas tamat kursus, menyatakan keterujaan mereka terhadap format pembelajaran kursus ini, yang menggabungkan teori dan praktikal dengan efektif. Rata-rata peserta menunjukkan minat dan mencadangkan agar tempoh kursus ini dipanjangkan tempoh kursus bagi membolehkan para peserta dapat memahami pengunnan perisian ini dengan lebih mendalam dan baik.
 
Kursus ini memberikan pendedahan yang sangat berguna, terutama untuk meningkatkan kompetensi teknikal kami sebagai persediaan menghadapi cabaran industri," ujar salah seorang peserta.
Sebagai Kesimpulan, Siri Program Pemerkasaan Industri ini terus menjadi platform berkesan untuk memperkasa pelajar UMPSA dengan kemahiran tambahan yang bernilai tinggi. Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk melangkah lebih jauh dalam dunia profesional.
Previous Next

Program Pemerkasaan Kompetensi Pelajar : Shaft Alignment Best Practice In Oil And Gas Industries (14 - 15 Jun)

Kursus Shaft Alignment Best Practice In Oil And Gas Industries
14 – 15 Jun 2025 | Makmal Kejuruteraan Gas, FTKKP

Pusat TVET Termaju Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses (FTKKP) telah berjaya menganjurkan Kursus Precision Shaft Alignment Method selama dua hari bermula 14 hingga 15 Jun 2025. Kursus ini menghimpunkan seramai 21 orang peserta, terdiri daripada 14 pelajar FTKKP serta 7 pelajar daripada fakulti lain (FTKMA – 2 peserta, FTKPM – 3 peserta, FSTI – 2 peserta).

Program ini dikendalikan oleh tiga orang tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang industri dan teknologi iaitu:
• Ts. Mohd Anuar bin Hj Ramli
• Ts. Joharizal bin Johari
• Ts. Dr. Azizul Helmi bin Sofian

Kursus ini merangkumi sesi teori dan praktikal, memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan penjajaran aci (shaft alignment) yang tepat serta penggunaan peralatan moden seperti Alignment Dial Kit dan Laser Alignment System. Melalui pendekatan pembelajaran hands-on, peserta dapat mempraktikkan teknik yang betul selaras dengan keperluan industri semasa.

Objektif Kursus:

  • Melahirkan pelajar UMPSA yang berkemahiran dalam Precision Shaft Alignment Methods.
  • Memperkukuh pengetahuan teknikal yang selari dengan keperluan industri.
  • Memberi nilai tambah kepada pelajar melalui sijil penyertaan program.

 Aktiviti Utama Program:

  • Sesi ceramah dan perkongsian teori
  • Demonstrasi peralatan penjajaran aci
  • Latihan praktikal secara berkumpulan
  • Sesi soal jawab bersama tenaga pengajar

Impak Program:
Melalui penyertaan dalam kursus ini, para peserta telah berjaya:

  • Meningkatkan kemahiran dan kefahaman mengenai penjajaran aci yang tepat dalam sistem industri.
  • Mendapat pendedahan kepada teknologi & amalan terbaik terkini.
  • Memperoleh sijil penyertaan sebagai pengiktirafan dan nilai tambah dalam prospek kerjaya.

Penutup
Program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan penglibatan aktif dan komitmen tinggi oleh para peserta. Penganjuran kursus seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan kemahiran teknikal pelajar sekaligus memperkukuhkan kebolehpasaran graduan UMPSA.

Disediakan oleh:
Ts. Mohd Anuar bin Hj. Ramli
Ts. Joharizal bin Johari
Pusat TVET Termaju
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

Previous Next

Program Pemerkasaan Kompetensi Pelajar : Kursus Profesional Dan Kompetensi PTVET 2025 Off-grid Solar PV System

PROGRAM PEMERKASAAN KOMPETENSI PELAJAR : KURSUS PROFESIONAL DAN KOMPETENSI PTVET 2025
OFF-GRID SOLAR PV SYSTEM
24 & 25 MEI 2025 | UMPSA PEKAN
 
Sebagai sebahagian daripada inisiatif “Pemerkasaan Kompetensi Pelajar” di bawah KPI2A(2) Pelan Strategik UMPSA25, Pusat TVET Termaju (PTVET) dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia UMPSA telah menganjurkan Kursus Off-Grid Solar PV System pada 24 dan 25 Mei 2025 bertempat di Makmal Tenaga Lestari FTKEE, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Kursus yang dijalankan selama dua hari ini telah dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman iaitu Encik Mohamad Azlan Bin Mat Hussin dan dibantu oleh Ts. Nidzamuddeen Bin Ishak. Seramai 15 pelajar pra-siswazah telah menyertai program ini yang memberi pendedahan secara teori dan praktikal berkaitan sistem solar fotovoltaik (PV) jenis off-grid.
 
Sepanjang kursus, peserta telah diperkenalkan dengan asas tenaga solar, kefahaman terhadap keperluan tenaga boleh baharu selaras dengan Dasar Tenaga Negara serta National Energy Transition Roadmap, di samping mempelajari kaedah pengiraan beban untuk sistem solar.
Antara pengisian utama adalah sesi praktikal pemasangan sistem solar secara off-grid yang memberi pengalaman langsung kepada peserta dalam membina sistem yang berfungsi tanpa sambungan kepada grid elektrik kebangsaan.
Program ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan teknikal pelajar dalam bidang tenaga boleh baharu, malah turut menyokong aspirasi negara dalam memperkukuh tenaga mampan serta melahirkan graduan TVET yang berdaya saing dan bersedia untuk pasaran kerja hijau.
Syabas dan tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya mengikuti kursus ini dengan jayanya.
Diharapkan kursus seperti ini dapat diteruskan bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar lain mendalami bidang teknologi hijau yang semakin relevan pada masa kini.
Previous Next

Program Pemerkasaan Kompetensi Pelajar: Kursus Profesional Dan Kompetensi PTVET 2025 Single Phase Electrical Wiring Installation

PROGRAM PEMERKASAAN KOMPETENSI PELAJAR: KURSUS PROFESIONAL DAN KOMPETENSI PTVET 2025
SINGLE PHASE ELECTRICAL WIRING INSTALLATION
17 & 18 MEI 2025 | MAKMAL PENDAWAIAN ELEKTRIK, FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN ELEKTRIK & ELEKTRONIK (FTKEE), UMPSA
 
Sebagai usaha berterusan dalam memperkasa kemahiran teknikal dan profesional pelajar, Pusat TVET Termaju (PTVET) dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia UMPSA telah menganjurkan Kursus Single Phase Electrical Wiring Installation pada 17 dan 18 Mei 2025 bertempat di Makmal Pendawaian Elektrik, FTKEE, UMPSA Pekan.
Kursus yang berlangsung selama dua hari ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Pelan Strategik UMPSA25 bagi menyokong pembangunan kompetensi pelajar melalui program latihan profesional berteraskan TVET. Seramai 11 orang pelajar pra-siswazah UMPSA telah terlibat sebagai peserta.
Sepanjang program, peserta dibimbing oleh dua orang jurulatih bertauliah iaitu Ts. Hj Hairul Ajiki Bin Hashim dan Ts. Nazriyah Bt Hj Che Zan yang berkongsi kepakaran dalam bidang pendawaian elektrik fasa tunggal. Modul kursus merangkumi pengenalan kepada sistem pendawaian elektrik, pemahaman tentang komponen dan peralatan asas, kaedah pemasangan litar secara praktikal, serta aspek keselamatan dalam kerja-kerja pendawaian.
Kursus ini turut menekankan latihan amali secara menyeluruh untuk memastikan peserta benar-benar memahami teknik pemasangan dan penyambungan litar elektrik dengan betul mengikut piawaian industri.
Bagi melayakkan diri memperoleh sijil kompetensi, peserta turut menjalani penilaian teori dan praktikal di akhir kursus. Rata-rata peserta menyatakan kepuasan terhadap pelaksanaan kursus serta berharap agar lebih banyak program seumpama ini dapat ditawarkan pada masa akan datang demi memperkukuh kemahiran teknikal dalam kalangan pelajar UMPSA.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta yang telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang kursus dan berjaya melengkapkan latihan ini dengan cemerlang.
Previous Next

Program Pemerkasaan Kompetensi Pelajar: Kursus Profesional Dan Kompetensi PTVET 2025 - Awareness on Building Quality Assessment (QLASSIC)

Program Pemerkasaan Kompetensi Pelajar: Kursus Profesional Dan Kompetensi PTVET 2025 - Awareness on Building Quality Assessment (QLASSIC)
17–18 MEI 2025 | STUDIO 1, BANGUNAN ETIM, FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN AWAM
 
Program latihan teknikal Awareness on Building Quality Assessment (QLASSIC) telah berjaya dilaksanakan pada 17 hingga 18 Mei 2025, bertempat di Studio 1, Bangunan ETIM, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Gambang, Pahang. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pemerkasaan TVET aras tinggi di bawah Pusat TVET Termaju dengan kerjasama Human Resource Development (HRD) di bawah inisiatif UMPSA25 KPI2a(2) melalui siri latihan Pusat TVET Termaju (PTVET). Latihan ini dikendalikan oleh jurulatih bertauliah En. Mohd Sharulnizam Bin Wahap dan Ts Norhayani Binti Mohd Nor.
 
Sepanjang dua hari pelaksanaan, peserta diberikan pendedahan mendalam berkaitan penilaian kualiti kerja pembinaan berpandukan Standard Industri Pembinaan (CIS 7) dan prosedur pelaksanaan QLASSIC. Antara pengisian utama termasuklah kaedah pensampelan, penilaian tapak, pengiraan skor, serta keperluan toleransi dan mutu kerja yang ditetapkan oleh CIDB. Seramai 25 orang pelajar pra-siswazah dari Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah terlibat. Semua peserta telah berjaya menamatkan latihan dan lulus penilaian praktikal yang dijalankan pada hari terakhir. Penilaian ini menguji kefahaman peserta terhadap modul serta kemahiran dalam mengenal pasti kecacatan binaan menggunakan peralatan standard QLASSIC berdasarkan CIS 7. Peserta juga dikehendaki memberikan skor penilaian terhadap simulasi pemeriksaan pembinaan.
 
Pelaksanaan program ini diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada pelajar, di samping memperkukuh pengetahuan dan pengalaman praktikal mereka sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan sebenar dalam industri pembinaan.
Previous Next

Program Pemerkasaan Kompetensi Pelajar: Kursus Profesional Dan Kompetensi PTVET 2025 - Magnetic Particle Testing (MPT)

PROGRAM PEMERKASAAN KOMPETENSI PELAJAR: KURSUS PROFESIONAL DAN KOMPETENSI PTVET 2025 - MAGNETIC PARTICLE TESTING (MPT)
10 & 11 MEI 2025 | TEACHING FACTORY, PUSAT TVET TERMAJU, UMPSA PEKAN
 
Sebagai inisiatif untuk memperkukuh kompetensi teknikal dan kebolehpasaran graduan, Pusat TVET Termaju (PTVET) telah menganjurkan Kursus Magnetic Particle Testing (MPT) pada 10 dan 11 Mei 2025 bertempat di Teaching Factory, UMPSA Pekan. Kursus selama dua hari ini merupakan salah satu program di bawah Pelan Strategik UMPSA25 bagi menyediakan pelajar dengan kemahiran tambahan berteraskan amalan industri sebenar. Seramai 14 orang pelajar pra-siswazah UMPSA telah terlibat sebagai peserta kursus.
 
Latihan intensif ini dikendalikan oleh dua orang jurulatih bertauliah dalam bidang Non-Destructive Testing (NDT), iaitu Ts. Mohd Sazali bin Salleh dan Ts. Junaedi Irwan bin Wan Abdul Halim sebagai co-trainer. Mereka berkongsi kepakaran melibatkan teori dan aplikasi praktikal Magnetic Particle Testing yang digunakan secara meluas dalam pemeriksaan kualiti komponen logam, terutamanya dalam industri pembuatan dan kejuruteraan.
Modul kursus meliputi pengenalan kepada konsep asas NDT, teori magnetisme, proses-proses utama dalam MPT, standard dan prosedur industri, serta latihan penulisan arahan kerja. Peserta turut menjalani dua sesi praktikal menggunakan peralatan sebenar MPT, yang memberi peluang secara langsung kepada pelajar untuk memahami serta melaksanakan prosedur pengujian dengan berkesan dan selamat.
Bagi melayakkan diri menerima sijil profesional, semua peserta telah melalui penilaian teori dan praktikal di akhir kursus. Keputusan penilaian menunjukkan kebanyakan peserta telah menguasai kemahiran asas yang diperlukan serta menunjukkan potensi tinggi untuk menyertai industri berkaitan NDT.
 
Program ini mendapat maklum balas positif daripada para peserta yang menyatakan bahawa kursus ini bukan sahaja memberi ilmu baharu, malah meningkatkan keyakinan mereka untuk berhadapan dengan keperluan sebenar industri selepas tamat pengajian. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta atas komitmen dan pencapaian mereka sepanjang kursus ini. Pusat TVET Termaju komited untuk terus menganjurkan lebih banyak kursus seumpama ini dalam usaha melahirkan graduan TVET yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Image
— Contact
Centre for Advanced TVET,
Teaching Factory Building,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah,
26600 Pekan Pahang

— Quick Link