Previous Next

Kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Persediaan Makmal

Kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Persediaan Makmal
05 SEPTEMBER 2024 | DEWAN TUN TEJA, UMPSA GAMBANG
 
Satu kursus jangka pendek bertajuk “Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Persediaan Makmal” telah berjaya dijalankan pada 05 September 2024 di UMPSA, Kampus Gambang. Kursus ini merupakan anjuran Pusat TVET Termaju (PTVET) bersama Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO) telah dihadiri oleh 24 orang staf daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab.
 
Kursus ini merupakan sebahagian daripada agenda pemerkasaan TVET aras tinggi di bawah kelolaan Pusat TVET Termaju melalui siri latihan PTVET. Kursus ini dikendalikan oleh Pengarah OSHMO, Ts. Muhammad Hairynizam Bin Muhd Taib dan Timbalan Pengarah OSHMO, Ts. Mohd Marzuki Bin Mohamed.
Objektif kursus ini adalah untuk memberi keterangan umum berkaitan pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di makmal, khususnya makmal di UMPSA. Antara objektif lain kursus ini dilaksanakan adalah untuk membudayakan KKP di tempat kerja, dalam usaha UMPSA untuk menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat.
 
Bahan yang disampaikan melalui kursus ini dibentuk sesuai dengan pelaksanaan KKP di UMPSA. Antara topik yang dibincangkan adalah perundangan KKP, pengurusan risiko KKP, pengurusan bahan kimia dan buangan terjadual, sistem pengurusan KKP, serta pengurusan kecemasan. Topik-topik yang dipilih diharapkan dapat membantu peserta dalam menguruskan KKP di makmal masing-masing.
Melalui pelaksanaan kursus jangka pendek ini, pihak Pusat TVET Termaju dan OSHMO berharap agar ianya akan dapat memperkasakan pelaksanaan KKP di UMPSA, seiring dengan usaha UMPSA untuk memperkasakan TVET aras tinggi di UMPSA.

Cetak   Emel